GEORGE TOWN: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam melaksanakan tanggungjawab, pegawai-pegawai imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

Namun katanya, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan berhemah.

"JIM komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Rabu.

Pada Isnin lalu beberapa portal melaporkan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang.

Hantaran lelaki itu tular di media sosial selepas dia meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila berurusan dengan kakitangan UTC di Komtar untuk memperbaharui pasport ibu bapanya.

Difahamkan, proses kemas kini pasport bapa berjalan dengan lancar, tetapi tidak buat ibunya kerana menghadapi masalah tidak fasih berbahasa Melayu.

Walaupun sudah menerangkan bahawa ibunya hanya mampu berbahasa Melayu dengan terhad susulan tidak bersekolah, kakitangan UTC Komtar tetap tidak menerima alasan tersebut.

Menurut lelaki itu, orang awam lain yang turut ada ditempat kejadian tidak bersetuju dengan tindakan kakitangan tersebut.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, lelaki terbabit telah dapat memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada 22 April lalu. - Sinar Harian